SIARAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
SEMPORNA, SABAH, 11 JUN 2026 — Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha menuju pengiktirafan UNESCO Global Geopark menerusi pelaksanaan Sesi Pertukaran Dokumen Jaringan Geopark bersama Kinabalu UNESCO Global Geopark yang berlangsung di Seafest Regency Hotel, Semporna, Sabah.
Sesi pertukaran dokumen ini merupakan sebahagian daripada program Sesi Libat Urus Kaedah Pengurusan Pemberian Geran Ecological Fiscal Transfer (EFT) yang dianjurkan oleh Perbendaharaan Negeri Selangor bersama Kementerian Kewangan Sabah dan Taman-Taman Sabah. Program tersebut turut melibatkan pelbagai agensi berkepentingan termasuk Tourism Selangor, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Selangor, Jabatan Mineral dan Geosains Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah serta pihak berkuasa tempatan.
Jaringan kerjasama yang dimeterai antara kedua-dua geopark ini bertujuan memperkukuhkan tadbir urus geopark melalui perkongsian amalan terbaik, pertukaran kepakaran, penyelidikan, pembangunan komuniti serta program pendidikan yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Kerjasama ini juga dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuhkan persediaan GHL Geopark ke arah memperoleh pengiktirafan UNESCO Global Geopark menjelang tahun 2028.
Pembangunan GHL Geopark merupakan antara inisiatif penting yang terus diperkasakan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui pemberian Geran Ecological Fiscal Transfer (EFT), sejajar dengan komitmen negeri dalam memelihara khazanah geologi, biodiversiti dan warisan budaya sambil merancakkan pembangunan pelancongan lestari.
Selain menyokong agenda pemuliharaan alam sekitar, usaha ini turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat melalui sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi dan geopelancongan yang semakin mendapat perhatian di peringkat domestik dan antarabangsa.
Majlis pertukaran dokumen tersebut melibatkan wakil GHL Geopark, Puan Chua Yee Ling, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor merangkap Pengerusi GHL Geopark, dan wakil Taman-Taman Sabah, Puan Noorannezza Junsin, Pegawai Penyelidik (Geologi). Sesi tersebut turut disaksikan oleh wakil Kementerian Kewangan Sabah, Encik Mohamad Nazrie Bin Paulus, serta Puan Sabrina Binti Adnan, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Selangor.
Melalui jaringan strategik ini, GHL Geopark berharap dapat memperluaskan kerjasama di peringkat nasional dan antarabangsa, seterusnya memperkukuhkan kedudukannya sebagai destinasi geopark yang berdaya saing serta berpotensi menjadi UNESCO Global Geopark pertama di Negeri Selangor.
-TAMAT-
