Kepelbagaian Tarian Tradisional Identiti Etnik di Negeri Selangor
Shah Alam, 24 Mei 2018 – Kepelbagaian jenis tarian yang menjadi tarikan sejak berzaman mewujudkan beberapa pengaruh seperti budaya luar, kehidupan persekitaran dan juga keunikan masyarakat itu sendiri. Negeri Selangor mempunyai beberapa Tarian Tradisional, Tarian Rakyat, Tarian Etnik dan Tarian Istana.
Tarian Tradisional Selangor. Negeri Selangor mempunyai sembilan daerah di mana di setiap daerah akan mewakili kelompak masyarakat yang berbeza dan mempunyai budaya dan kesenian mereka tersendiri. Tarian etnik yang wujud adalah seperti Tarian Mah Meri yang dipelopor oleh masyarakat Orang Asli dari Daerah Kuala Langat. Tarian rakyat seperti Tarian Dabus di Daerah Kuala Selangor, Tarian Piring di Daerah Sepang dan beberapa tarian lain seperti Tarian Asli Bunga Tanjung Dan Tarian Makan Sirih. Manakala Tarian Istana yang terkenal untuk persembahan Diraja adalah Tarian Pooja yang dahulunya dipersembahkan di hadapan Raja, Tetamu negeri dan kerabat diraja.
Selain itu, Tarian tradisional piring adalah salah satu tarian tradisional bagi masyarakat minang yang terdapat di Daerah Sepang, Negeri Selangor. Asalnya tarian ini dikenali sebagai “Tari Piring” iaitu penari akan mempersembahkan piring di atas setapak tangan kanan dan kiri sambil menari di atas pecahan kaca yang telah dihancurkan. Tarian ini boleh dilakukan secara berpasangan atau pun lelaki sahaja.
Terdapat beberapa pergerakan di dalam Tarian Piring antaranya tayang piring, jalan ketam, meniti benang, lompat gagak, tadah embun, tikam keris, puluh berlaga dan banyak lagi. Keunikan yang terdapat dalam tarian ini ialah para pengiringnya akan memakai sebentuk cincin lalu mengelukkan jarinya pada piring itu hingga mengeluarkan bunyi. Ia akan di pertontonkan secara agresif mahupun secara perlahan mengikut rentak muzik yang digunakan sewaktu persembahan.
Di samping itu, Tarian Pooja pula adalah tarian dari bahasa Bugis yang bermaksud “puji-pujian”. Ia dipersembahkan oleh sebilangan gadis muda dengan simbolik gerak tari memuji-muj dan memohon kesejahteraan Raja yang memerintah. Pada masa dahulu, tarian ini hanya dipersembahkan di dalam istana untuk kerabat-kerabat diraja bagi meraikan sesebuah keamanan.
Kini Tarian Pooja mula di pertontonkan pada permulaan sesuatu majlis sebelum ia berlangsung dan menjadi simbolik ucapan selamat datang kepada para tetamu yang hadir. Ia bukan lagi merupakan sebuah rasmi istana negeri sebaliknya boleh dipersembahkan dimana-mana dan dipertontonkan oleh sesiapa sahaja. Bahan yang digunakan ketika tarian ini ditarikan adalah “Dupa” yang menyerupai bekas tempat letak bunga rampai dikatakan memberi erti memohon keberkatan dari raja. Untuk lagu tarian pula, terdapat beberapa lagu khas yang mengiringi bersama iaitu lagu “Asli Raja” yang dinyanyikan dalam bahasa Bugis. Manakala pakaian yang digunakan semasa tarian pula adalah baju dari masyarakat Bugis itu sendiri iaitu “Baju Bodo”.
Tarian Makan Sirih adalah sinonim di majlis-majlis keraian. Dipersembahkan secara berpasangan oleh lelaki dan wanita. Tarian ini menceritakan tentang pahlawan yang ingin ke medan perang akan diraikan sebelum pemergiannya. Tepak sirih pula digunakan sebagai simbol untuk memberi gambaran bahawa gadis yang memberi makan untuk si pahlawan tersebut semasa di medan perang.
Tarian Asli Bunga Tanjung lazimnya dikenali sebagai Tarian tradisional utama di Negeri Selangor. Taritama oleh para gadis yang menggambarkan keasyikan bermain libur di taman sambil memetik bunga tanjung. Tarian ini didendangkan dengan irama asli “bunga tanjung” bagi memperlihatkan lagi keindahan serta kesopanan gerak tari yang dipamerkan.
Tarian Pattennun merupakan tarian adat yang berasal dari Sulawesi selatan yang di persembahkan oleh para gadis Bugis. Walau bagaimanapun, tarian ini diubah mengikut kesesuaian tempat dan budaya masyarakat di sini. Gerak gemalai tarian ini pula menggambarkan kesabaran dan ketekunan para gadis yang sedang menenun dari selambar benang sehingga menjadi sehelai kain. Manakala pakaian yang digunakan berupa baju bodo panjang, berkain sarung tenun berlipat dan menggunakan alatan tarian berupa sarung atau kain lempar. Tarian pattennun ini diiringi oleh iringan instrumen muzik tradisional seruling dan gendang.
– End –