Program Squad Kembara Sekolah
Usaha Tourism Selangor bagi mempergiatkan kaedah promosi Pelancongan Domestik
SELAYANG, SELANGOR – Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah mengambil langkah proaktif menganjurkan program yang berbentuk ‘Jelajah’ dan kembara ke sekolah-sekolah yang terpilih bagi mengadakan kempen promosi kesedaran pelancongan seterusnya salah satu usaha mempromosikan produk pelancongan setempat.
Siri jelajah yang kedua kalinya diadakan selepas usaha penganjuran program semenjak Tahun 2009 ini membuka tirai jelajah untuk Tahun 2019 di SMK Darul Ehsan, Batu Caves Selangor. Pelbagai aktiviti menarik yang disediakan oleh pihak Tourism Selangor khususnya memfokuskan kepada taklimat pelancongan yang lebih menjurus untuk menggalakkan para pelajar mengenal produk pelancongan yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka yang ada di Negeri Selangor.
Kempen jelajah Squad Kembara Sekolah Tourism Selangor untuk Tahun 2019 ini mendapat kerjasama yang baik serta perkongsian pintar bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan penyertaan daripada beberapa produk pelancongan utama negeri seperti, Sunway Lagoon, Kidzania Kuala Lumpur, Farm in The City, Palace of the Golden Horses, Bangi Wonderland dan Jumpstreet, yang juga menyediakan hadiah dan aktiviti interaktif secara ilmiah kepada para pelajar yang hadir. Penganjuran pada kali ini juga melibatkan Perbadanan Adat Melayu Warisan Negeri Selangor (PADAT) yang juga memberikan pengisian berbentuk aktiviti kesenian kebudayaan bagi mempromosikan aktiviti kebudayaan Kerajaan Negeri.
Puan Khuzaimah Jamaluddin, Pengurus Promosi dan Pembangunan Industri Tourism Selangor berkata usaha ini merupakan salah satu langkah proaktif Tourism Selangor bagi menggunakan platform pelancongan pendidikan sebagai salah satu usaha meningkatkan jumlah kedatangan pelancong domestik ke Negeri ini.
“Pada Tahun ini kita mensasarkan jumlah kedatangan pelancong domestik sebanyak 4 juta dan kita mengharapkan para pelajar ini dapat menwar-warkan informasi ini seterusnya mengajak keluarga dan ibubapa mereka untuk melancong ke tempat-tempat yang menarik yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka’, Beliau berkata.
Program jelajah ke sekolah ini dijangka akan diteruskan pada setiap tahun dan pihak Tourism Selangor merancang untuk menganjurkan ke sekolah swasta dan sekolah antarabangsa dan juga bekerjasama erat bersama sekolah-sekolah yang mempunyai persatuan atau kelab
pelancongan.
– End –